- Indahnya Berhari Raya Di Desa - Azlina Aziz
- Pulanglah - Aishah
- Balik Kampung - Allahyarham Sudirman Hj Arshad
- Takbir Raya
- Bisikan Pagi Di Hari Raya - Hail Amir & Sharifah Aini
- Suasana Di Hari Raya - Anuar dan Elina
- Suatu Hari DI Hari Raya - M. Nasir
- Selamat Hari Raya - Allahyarhamah Biduanita Saloma
- Sepasang Kurung Biru - Khairil Johari Johar
- Kupohon Restu Ayah Bonda - Mamat (Exist)
Sepuluh lagu-lagu pilihan ini, telah mewarnai keindahan Eid Fitr atau Aidil Fitri saya sepanjang kehidupan ini. Kini, Aidil Fitri datang lagi dengan wajah berseri-seri pada tahun 1432H…… Segalanya menggemilangkan diri sebagai insan yang kerdil kepada penjulangan warga. Syukur kehadrat Illahi kerananya.
Pemilihan lagu-lagu sempena Aidil Fitri 1432H, saja saya pilih lagu-lagu yang cukup membawa nostalgia buat saya dan keluarga. Kesemuanya saya akui membawa kenangan abadi selamanya buat saya dan keluarga. Apa yang bestnya ?
- Indahnya Berhari Raya Di Desa - Azlina Aziz
Lagu dendangan Indahnya Berhari Raya Di Desa - Azlina Aziz ini merupakan antara lagu "killer song" yang saya gemari. Lagu ini banyak membawa nostalgia semasa saya berada di kolej suatu masa dahulu.
Cukuplah saya katakan, hati saya sentiasa gusar sebagai anak rantau bila tiba hari menyambut lebaran. Nun disudut hati ini saya sentiasa terbayang wajah-wajah Ayah dan Bonda tersayang. Ingin hati nak balik kampung, namun dengan pelbagai kekurangan terutama sekali kewangan, saya hanya mampu meleraikannya sambil termenung di hadapan Masjid Shah Alam (semasa belajar kolej) untuk mengimaginasikan suasana permai kampung nun jauh di desa.
Hari ini saya bersyukur kehadratNYA, saya mampu terbang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga di pagi Syawal, meskipun penuh dengan kepelbagaian bentuk kepayahan.
Terima kasih Ayah Ismail Mohd Sham, terima kasih Bonda Juarah Binti Abd Rajak kerana doa kalian saya ada di sini hari ini berdiri untuk kalian.
- Pulanglah - Aishah
Lagu kesyahduan Aidil Fitri ini juga banyak membawa nostalgia buat diri saya. Meskipun agak berbaur dengan perasaan kejiwangan semasa melayannya. Tapi suara penyanyi Aishah yang sememangnya "mantop" mengimbau kenangan lalu.
Syukurlah dengan kehadiran Elly Salleh dalam hidup ini, segalanya berubah. Dan, kini keluarga ini telah mengimarahkan saya untuk bangkit semula mengenali diri dan sebagai seorang perwira di medan perjuangan ini.
Terima kasih buat Elly Salleh, anak-anak dan keluarga.
- Balik Kampung - Allahyarham Sudirman Hj Arshad
Siapa tidak kenal dengan sentuhan Wiraan Negara, Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Selain dari lagu "Dari Jauh Kupohon Maaf." Lagu ini banyak membawa nostalgia diri saya setelah menjadi seorang ayah. Lagu ini mengimbau kembali kenangan lalu bila ia dimainkan di corong radio Bas Maharani di setiap kali Hari Raya Aidil Fitri berkunjung kembali (semasa bertandang berhari raya ke rumah Elly Salleh bersama seorang rakan En. Virus).
"Tangkap Nangis" tu tidak lah, tapi ia cukup mengamit kesyahduan Aidil Fitri buat saya selaku anak dagang yang sukar untuk berhari raya bersama keluarga tersayang di seberang sana.
Hari ini…. lagu ini akan dinyanyikan oleh Aina, E'KiM dan E'ZiQ (mungkin juga Ariana suatu masa nanti.) bila tiba masanya untuk balik ke kampung.
Syoknya Hari Raya dengan citrarasa balik kampung. Buat anak-anak kesayangan…. yang berempat, "Hayatilah lagu ini, Papa pernah melaluinya."
- Takbir Raya
Ini merupakan seruan subuh hari setiap perayaan untuk kita menunaikan solat sunat lebaran selepasnya. Namun, seruan lebaran adalah sentuhan rasa yang suci dan mekar untuk lebaran bersama keluarga sendiri.
Dengan adanya takbir, perayaan terutamanya Lebaran akan terasa lebih menarik dan penuh sentuhan.
Komen saya, "Hanya Insan yang memahami Erti Ramadhan Akan Memahami Lebaran."
"Allahu Akhbar, Allahhu Akhbar, Allahu Akhbar…. Walillahilham…"
- Bisikan Pagi Di Hari Raya - Hail Amir & Sharifah Aini
Suatu waktu dahulu, saya mendengar lagu ini di Kota Keningau, Sabah melalui corong radio Abah (Keset sahaja masa tu.). Cukup nostalgik bila ianya dimainkan di corong radio sewaktu kami ke Masjid Kg Bayangan, Keningau.
Namun, penghayatan lagu ini di waktu itu tidaklah seperti hari ini. Bila mana saya membeli CD Originalnya untuk koleksi simpanan peribadi saya.
Cerita hari itu (Semasa di Keningau) akan tetap kekal selamanya di minda ini, di mana saya tidak bersembahyang raya kerana selipar tinggal di rumah untuk ke masjid. Jadinya, saya hanya terperap di dalam kereta Toyota DX Abah sehingga solat selesai hampir 45 minit. (Pengajaran peribadi buat saya) Itulah akibatnya, bila minda kita yang dok takut selipar hilang di curi di Masjid semasa raya, akhirnya tidak bersolat. Nawaitu pun dah lari. Saya mengikuti abah ke masjid tapi tidak bersolat kerana sebab itu.
Alasan kongkrit masa itu ialah kerana kereta Abah terletak jauh dari masjid, dan saya terpaksa menapak dengan kaki tanpa alas ke masjid (yang mana saya tidak ingin lakukan, geli dengan tanah dan pasir konon.)
- Suasana Di Hari Raya - Anuar dan Elina
Lagu Anuar dan Elina ini agak menarik buat saya. Saya meminatnya semenjak saya masih di bangku sekolah lagi pada tahun 1980an.
Lagu ini juga sememangnya cukup nostalgik buat saya dan keluarga. Apa tidaknya, saya di Negeri Di Bawah Bayu, Elly di Bandar Maharani dan kini anak-anak di Kota Darul Ehsan, kesemuanya sehingga hari ini menyulam rasa menyanyikan lagu ini.
E'KiM anak memasangnya setiap pagi hendak ke sekolah di bulan Ramadhan Al Mubarak sambil menyanyi-nyanyi kecil sebelum masuk ke pagar sekolah.
E'ZiQ pula akan berkata ini lagu individunya.
Aina pula akan melayan-layan rentak lagu ini sambil bermain komputer.
Apa lagi Elly, yang akan menceritakan sejarah lagu kegemaran ini pada dirinya.
- Suatu Hari Di Hari Raya - M. Nasir
Saya tidak tahu bila bermulanya lagu ini saya minati, tapi rentak santai lagu ini cukup menarik minat saya untuk melayannya dengan petikan Yamaha untuk anak-anak di setiap Sambutan Hari Raya kecil bersama keluarga (Elly dan anak-anak). Kebiasaanya anak-anak akan melayan rentak santai lagu M. Nasir ini, selepas kami memasak masakan special Elly untuk keluarga sebagai santapan bersama. Sambutan ini biasa dilakukan secara tertutup sesama keluarga dan anak-anak sahaja.
Ringkasnya, pada hari ini kita akan meluahkan rasa dan melafazkan niat untuk melakukan yang terbaik untuk lebaran-lebaran seterusnya.
Terima kasih keluarga, ianya jarang-jarang dilakukan (ataupun mungkin tidak dilakukan) untuk sesetengah keluarga. Namun, di sinilah anak-anak akan bercerita tentang perancang mereka sehingga lebaran pada tahun berikutnya.
- Selamat Hari Raya - Allahyarhamah Biduanita Saloma
Lagu ini boleh lah saya katakan, "among the best" buat keluarga juga. Ia juga agak santai, dan sesuai untuk hidangan rasa Aidil Fitri.
Agak menarik buat saya yang kurang merasai kegembiraan sebegini suatu masa dahulu.
Terus-terang saya katakan, lagu ini sememangnya menjadi renggekan gembira anak-anak saya di pagi raya di mana jua mereka berada.
- Sepasang Kurung Biru - Khairil Johari Johar
Lagu ini merupakan tema pakaian tahun 1432H. "Kurung Biru" untuk Lebaran 1432H.
Apa yang saya harapkan ianya menjadi nostalgia jua buat keluarga. Seperti mana saya yang begitu meminati sentuh puisi Khairil Johari Johar, bukan hanya di dalam sentuhan lagu lebaran, tetapi lagu-lagu lain yang beliau nyanyikan.
- Kupohon Restu Ayah Bonda-Mamat (Exist)
Lagu yang saya suka nyanyikan untk bonda setiap panggilan raya ke kampung. Entah bonda nangis ke atau tidak entahlah. Namun, bagi saya, air mata pasi mengalir bila nyanyian ini berkumandang di corong radio hari ini.
Terima Kasih Ayah Bonda…. Anakmu sentiasa mengingatimu di kejauhan ini.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan