Hari ini saya bekerja semula, selepas bercuti kerana sakit gigi sehari dan menyelesaikan urusan-urusan peribadi selama 2 hari. Penat yang teramat. Gigilan sendi masih terasa di segenap tubuh. Almaklumlah, dalam menguruskan urusan peribadi saya tanpa henti kesana-kemari untuk menyelesaikan isu-isu keluarga, meskipun baru sembuh dari kesakitan.
Saya ketipkan kad kehadiran kakitangan bagi menandakan bermulanya waktu kerja hari ini.
….o0o….
Saya tidak makan tengahari, pada hari ini kerana menunggu seorang kawan (keluarga pesakit) untuk perbincangan berkaitan bayaran. Beruntungnya diri ini, warga pesakit dan keluarga pesakit tanpa mengira ras dan jantina menjadi kawan, sahabat serta taulan setia dalam menjalankan amanah bangsa.
Di saat menunggu ketibaan kawan yang dinanti, pandangan mata tertumpu kepada telatah warga pelawat yang mengunjungi Hospital Sg. Buloh.
Di sudut sana terlihat sekumpulan keluarga sedang menunggu masa melawat tiba. Di sudut lain kelihatan kanak-kanak girang berlari-lari ke sana ke mari seolah tanpa risau memikirkan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku kepada mereka. Ibu bapa? Entah kemana. Di suatu sudut pula sang bapa sedang tekun membaca akhbar tabloid terkumat-kumit entah apa bicaranya. Siibu? Bermain "FACEBOOK" agaknya.
Indah dikhabarkan suasana sebegini.
"Namun, melawati sesebuah hospital ada peraturannya." kata Dr Hj. Khalid Ibrahim, sebagai Pengarah Hospital Sg Buloh semasa mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Jabatan.
Saya bersetuju dengan kenyataan ini. Peraturan terpampang cukup jelas untuk rujukan para warga pelawat.
"Larangan kebenaran masuk bagi pelawat pada usia 12 tahun ke bawah berkuatkuasa di Hospital Sg. Buloh" adalah salah satu daripadanya. Ianya terpampang di pintu masuk ke jejambat lif ke wad pesakit.
"Tetapi, kenapa masih ramai lagi yang ingin membawa anak-anak ke Hospital Sg Buloh terutamanya untuk melawat pesakit?" soalan ringkas saya semasa berbual kosong dengan Dr Hj Khalid di ruang pejabatnya.
"Soalan itu, perlu dijawap sendiri oleh para warga pengunjung." jawapan ringkas dan menutup persoalan yang diutarakan.
Pelanggaran Peraturan ini saya terjemahkan seperti berikut :-
- Kurangnya perancangan dalam melakukan lawatan pesakit di sesebuah hospital.
- Tidak memahami apa erti itu peraturan.
- Menidakkan apa itu peraturan.
- Tidak mahu bertoleransi dengan peraturan yang sememangnya membawa kebaikan kepada individu itu sendiri.
- Kesombongan dan keegoan untuk menidakkan peraturan yang telah diwartakan oleh pihak pengurusan sesuatu Hospital.
….o0o….
![]() |
Suasana Pesta Perkampungan Semasa Menunggu
Waktu Lawatan Di Hospital Sg Buloh.
(Maaf Kerana Kualiti Gambar Yang Kurang Memuaskan)
Melawat sesebuah hospital di Malaysia hendaklah dirancang dan beretika. (Bukan hanya merancang dan beretika untuk atau di dalam kehidupan bekerjaya dan di rumah sahaja, yer.). Antaranya ialah :-
- Memastikan perancangan di atur untuk tidak membawa ahli keluarga yang berusia kurang dari 12 tahun. Umumnya, adalah demi kebaikan dan kesihatan mereka. Hantarlah mereka ke Pusat Asuhan sebelum melakukan lawatan. Ia juga membantu pengurusan pelawat untuk melakukan pengurusan-pengurusan lain termasuk bayaran (sekiranya pesakit telah bole didiscajkan) dan mendapatkan nasihat kesihatan doktor berkaitan keadaan pesakit.
- Terdapat warga pelawat yang suka membawa seisi keluarga untuk melawat sesebuah hospital. Ada yang sampai bawa tikar, bantal, periuk, pinggan, sudu dan tuala mandi sekali. Pemandangan ini, jelas kelihatan sekiranya, kita melawat Hospital Sg Buloh pada hujung minggu.
- Beretikalah semasa melawat pesakit atau menunggu giliran melawat pesakit. Janganlah pula kita berbaring-baring dengan membentang tikar mengkuang sementara menunggu waktu melawat tiba (Alasannya, untuk melepaskan lelah). Bukannya manispun kalau pakaian kita terselak di sana sini pun. Meluat penonton "wayang" tersebut, adalah.
Menyusukan pula anak biarlah ditempat yang disediakan. Janganlah pakai buka dan tonyoh sahaja. Buat penonton seperti saya, kebetulan melawat keluarga sakit di situ, segan rasanya. Bukannya nak tengok pun….. Nak kata budaya malu dah hilang, entahlah… warna kulit sawo matang sama juga seperti saya.
- Bagi yang "terpaksa" (khas yang tidak mengetahui peraturan sahaja) membawa anak-anak tu, hiasan dalaman yang disediakan adalah untuk dikongsikan bersama. Bunga-bunga, kerusi-kerusi dan bangku (kini dah rosak habis), desktop informasi (dah hancurpun) dan banyak lagi, hendaklah dijaga seperti ia milik kita bersama. Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit dari duit bayaran cukai "kita" pun untuknya. Cuba bezanya, ia digunakan secara bersama bukannya peribadi seperti di rumah kita sendiri. (Bayangkan kalaulah peralatan ini diletakkan di rumah kita, rosak sedikit mahu kena "lesing" perosaknya.)
Ibu bapa pula, janganlah membiarkan anak-anak berkeliaran ke sana ke mari tanpa jagaan. Apa yang saya perhatikan, lantai "tile", bucu-bucu sudut lantai, pasu-pasu bunga, cermin-cermin kaca dan batu-batu perhiasan menanti mangsa sahaja untuk jatuh padanya.
Apabila teguran diutarakan, terimalah sebaiknya. Tersentuh hati saya, semasa melawat keluarga (sebagai pelawat), menegur seorang bapa untuk memastikan anaknya tidak bermain dengan "desktop" komputer informasi, mengherdik saya kerana menegur anaknya.
Alasan "Budak-budak nak halang macam mana?", tidak masuk akal. Ini kerana yang melentur mereka adalah kita. Yang mewarnakan mereka adalah kita. Saya masih teringat keluarga jiran sebelah rumah saya, semasa isterinya dirawat di Hospital Sg Buloh. Si anak dihantar ke rumah saya, kerana dibimbangi menganggu warga pesakit di Hospital Sg Buloh. Dengan berbekalkan mainan koleksi "Naruto", Aiman (anak jiran saya), bermain-main dengan E'ZiQ (anak saya) di halaman rumah. Petangnya, si abah mengambilnya kembali. Syukurlah ada juga warga Malaysia sebegini.
Apa-apa pun…. betullah kata Pengarah Hospital Sg. Buloh bahawa, segalanya terletak kepada diri individu pelawat hospital sendiri. Sebenarnya, tidak perlu ada kempen, papan tanda ataupun arahan dan pekeliling. Segalanya terletak pada diri sendiri.
Fikir-fikirkanlah….. Selamat Merancang dan Beretika.
'theFLAME
ThePhotoBlogger
Betul kata semua. Says setuju 100%
BalasPadamBagaimana pula kalau anak-anak tidak bisa dititipkan kerana alasan lain. Tak ada sanak keluarga terdekat dan risau/segan nak antar ke rumah jiran.Terpaksalah dibawa serta.Lagipun setakat di luar sahaja,taklah boleh masuk menjenguk.Kena ada pas pelawat dan anak di bawah 12 tahun tidak diijinkan masuk.Apa-apapun kita mestilah sebagai orang tua ikut menasihatkan anak kita supaya tak berbuat bising semasa menunggu di luar.
BalasPadamSaya punya pengalaman semasa menjaga husband selama seminggu di hospital.Sedihnya hati semasa tengok tandas awam di dekat kantin Hospital,salah satu bilik tandas airnya mengalir tanpa henti.Rosak kot.I dah bagi tau puhak bersangkutan sampai bertungkus lumus call nombor yang ditampal kat dinding ,beberapa hari kemudian semasa apoinment,tengok masih juga belum diperbaiki. Aih...aih...bazirkan air.Lupa dah masa bekalan air Selangor kekurangan karena musim panas?
BalasPadam