Tergerak hati untuk menyusuri lebuhraya baru "Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR)", selepas menghantar anak-anak ke Latihan Seni Bela Diri Taekwondo di Dewan MPSA, Kg. Melayu Seri Kundang. Sambil menghirup udara rimba sepanjang lebuhraya, boleh juga layan "dating" dengan isteri, ditemani oleh hero kesayangan si E'ZiQ peneman setia dan Ariyana si baby comel.
Sepanjang perjalanan dari ke sebelah timur Lebuhraya LATAR, hati saya bersyukur kepadaNya. Alangkah bertuahnya warga yang mendapat pembangunan prasarana sebegini. Bertuahnya warga yang menerima kemudahan sebegini. Yakinnya hati ini, bila melihat pembangunan yang tersergam indah buat warganya.
Susuran perjalanan kami bermula dari Pintu Masuk Kundang (sebelah MARDI) ke Pintu Keluar Rawang (di Taman Rimba Templer). Perjalanan yang menyeronokkan dan sangat lancar tanpa sebarang halangan. Tidak sampaipun 15 minit kami sekeluarga sampai ke Plaza Tol Rimba Templer (destinasi terakhir Lebuhraya LATAR di sebelah timur). Seronoknya……..
"Senanglah ke Rawang selepas ni untuk membeli belah barang dapur di TESCO." kata Elly.
"Boleh beli Basformer (Transformers) ….kan mama, kan." sambung E'ZiQ
"Syukurlah…. ada juga jalan kecemasan untuk ke pejabat." hatiku kecil ini gembira melihat susur keluar ke Lebuhraya Guthrie untuk ke Lebuhraya PLUS sepanjang perjalanan tadi, sambil mengiyakan kata Elly dan E'ZiQ.
Untuk kembali ke Pekan Kundang kami terpaksa berpusing di Pusingan U berhadapan Kawasan Perindustrian Templer yang jaraknya lebih kurang 2 km dari Plaza Toll Rimba Templer. Jalan masih dalam pembinaan dan pembaikan. Tak apalah, segalanya diterima demi sebuah pembangunan.
….o0o….
Susuran kembali kami rancang untuk memcari Pintu Keluar Kundang berhampiran Pintu Masuk Kundang selepas Tol Kunag Timur. Setiba kami di kawasan Pintu Masuk Lebuhraya LATAR Kundang, saya memperlahankan kenderaan sambil terkial-kial mencari jalan keluar untuk balik ke Pekan Kundang semula. Tiada. Apa yang ada hanya Pintu Masuk Kundang ke arah Kuala Selangor. Aduhhhhhhhhh!!!!!!!!
"Tak apalah, mesti ada jalan keluar ikut Bandar Tasik Puteri." hatiku menyenangkan prasangka.
Elly dan E'ZiQ yang menemani hanya mendiamkan diri sahaja.
Bandar Tasik Puteri, tidaklah jauh dari kediaman yang saya dan Elly beli untuk keluarga. Jarak perjalanan melalui jalan dalam hanya cuma lebih kurang 6 kilometer sahaja.
Setiba di Plaza Toll Kuang Barat (Sebelah Bandar Tasik Puteri), saya dan Elly dikejutkan sekali lagi dengan hanya ada terdapat 2 simpang keluar dari Lebuhraya LATAR iaitu ke Pintu Keluar Melalui Jalan Puncak Alam-Kuala Selangor atau terus ke Pintu Keluar Melalui Pekan Ijok-Kuala Selangor.
"Huhhhhhh…. biar betul? Tambah jauh ni." Hati saya mula memberontak.
"Kenapa ada jalan masuk, tapi takde jalan keluar?" tanya Elly yang sedang melayan Ariyana yang mula rimas dengan perjalanan sebegini.
Hati saya sudah mula memikirkan, apakah tujuan Lebuhraya LATAR ini? Adakah untuk kegunaan penduduk disekitarnya, atau cuma sergaman indah panorama mata sahaja.
Dalam melayan perasaan geram, saya terus memandu memasuki Pintu Masuk Puncak Alam-Kuala Selangor. Jauhnya. Untuk mengelakkan destinasi perjalanan yang jauh, kami berpatah balik ke Lebuhraya LATAR untuk kembali ke Pintu Masuk Kundang (sebelam MARDI).
Peliknya perancangan lebuhraya sebegini. Seolah-olah satu perangkap kehidupan buat pemandu yang baru menggunakannya. Mengikut makluman yang saya perolehi dari Bernama.com, caj toll lebuhraya ini adalah sekitar RM2.00 hingga RM6.00 untuk sekali perjalanan. Wow….. mahal tu. Tapi, tidak mengapalah orang Malaysia pasti menggunakannya.
Persoalannya,
- Kenapa ada pintu masuk dari Pekan Kundang (bagi pengguna Lebuhraya LATAR) ke Kuala Selangor atau ke Jalan Duta/Kuala Lumpur, tetapi tiada Pintu Keluarnya? (Kebiasaannya, kalau ada Pintu Masuk sepastinya ada Pintu Keluar, macam rumah. Betul tak??????)
- Lupakah pihak konsesi yang bakal menjayakan lebuhraya ini, bahawa berkemungkinan besarnya pengguna akan datang dari kawasan berhampiran. (Sebagai jalan alternatif Lebuhraya PLUS melalui Plaza Tol Rawang ke Utara ataupun ke Selatan).
Bagi saya, yang akhirnya mengakhiri perjalanan kembali ke Pekan Kundang (secara haram, menuruni Pintu Keluar Kundang (sebelah MARDI) berasa perjalanan ini amat mengecewakan. Perjalanan yang saya sangka memudahkan saya pergi balik ke Pejabat atau ke Kuala Lumpur sebenarnya, tidak membawa faedahnya. Lebuhraya ini sememangnya tidak mempermudahkan perjalanan dua hala ke Kuala Lumpur danyang sewaktu dengannya. Saya rasa, puak-puak kaki Golf di Kundang Lake, pada mulanya rasanya terpukau dengan sergaman pembinaan awalnya. Namun kini, ianya hanya perhiasan pembangunan sekitar padang golf semata-mata. Tak boleh gunapun untuk dijadikan alternatif para pengguna.
Petangnya, aku kembali dengan keletihan dan baraan hati untuk menerokai jalan seterusnya, ke Ijok-Kuala Selangor. (Kata orang Lebuhraya LATAR ini disediakan untuk memudahkan perjalanan ke Tanjung Malim.)
p/s : Kesyukuran yang saya panjatkan, hilang dimamah kegeraman kerana terpaksa melalui perjalanan yang lebih jauh daripada yang diharapkan. Bayangkanlah, dari kurang 8 minit (melalui Pintu Masuk Kundang (sebelah MARDI) - Lebuhraya Guthrie - Lebuhraya PLUS - Hospital Sg Buloh) menjadi 1 jam 15 minit untuk balik semula ke Pekan Kundang melalui Pintu Keluar Ke Puncak Alam - Pekan Sg. Plong - Pekan Kuang dan ke Pekan Kundang. Huhhhhhh …. (Elok lagi menggunakan jalan lama Kundang - Pekan Kuang - Kg Melayu Sg Buloh - Hospital Sg Buloh yang hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja.)
Itulah "pembangunan" …… untuk warga sekitarnya.
'theFLAME
ThePhotoBlogger.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan